Bulan syaaban hampir menemui penghujungnya untuk tahun 1429 H ini dan bulan Ramadhan yang dirindui akan kembali menyegarkan jiwa buat para pencinta Tuhan dan para perindu syurga. Boleh jadi aura kedatangannya tidak dirasai sehebat EURO 2008 atau Olimpik Beijing bagi sesetengah orang, namun kehadirannya ibarat suatu sinar cahaya bergemerlapan yang muncul kembali bagi orang-orang yang mengerti.
Setahun ia pergi meninggalkan kita dalam bekalan yang makin tandus dengan amal yang semakin corot. Kini ia datang lagi untuk memberikan kita ruang mengumpul bekal menghadapi setahun yang penuh cubaan dan duri. Suatu bulan yang penuh ganjaran dan rahmat daripada tuhan pencipta alam…
Sudahkah kita bersedia menerima kehadirannya?
Sudahkah kita bersedia menggandakan amal sepanjang ia bertandang?
Sudahkah kita bersedia merebut setiap peluang khususnya satu malam yang ganjarannya bernilai seribu bulan?
Menyebut tentang persediaan menyambut Ramadhan, cuba kita bandingkan bagaimana persiapan kita dan perasaan kita dengan persiapan dan perasaan Nabi dan para sahabat dalam menghadapi bulan mulia ini. Suatu peluang yang sama Allah sediakan buat kita namun natijah daripada “Kursus Ramadhan” ini tidak sama antara kita dan mereka. Seharusnya kita mengkaji dan membuat muhasabah sebelum ia tiba, dan membuat persediaan secukupnya.
Kalau nak dibandingkan dengan gear, seharusnya sekarang kita sudah masuk ke gear 2 atau 3 untuk nantinya memecut terus melaju dengan gear 5 sepanjang Ramadhan. Bukannya tunggu dah masuk ke “Kem Ramadhan” nanti baru nak masuk gear 1.
Bahkan, bulan Ramadhan inilah seharusnya kita lebih bersemangat dalam segala hal (tolak maksiat). Belajar, menziarahi kawan-kawan, bersedekah, beribadah dan macam-macam lagi. Buktinya ditunjukkan oleh Nabi dan para sahabat. Pernahkah kita tahu bahawa perang pertama dalam Islam (Perang BADAR) berlangsung dalam bulan Ramadhan? Dan kemenangan berpihak kepada Umat Islam kerana pertolongan Allah. Kekuatan dalaman yang luar biasa dalam bulan Ramadhan telah ditonjolkan oleh mereka.
Jadi kepada semua, ayuh kita sambut Ramadhan dengan hati yang penuh girang dan khusyu’!!!




salam.
blog hoping and found your web!!
hehe..
p/s:ramai eh i quest’s mates ade blog? heheheh