Salam sejahtera kepada semua. Perbincangan yang ingin saya bawakan kali ini tidak bertujuan untuk menyuntik jarum-jarum politik atau berbicara tentang sesuatu yang tidak ada gerak kerja. Bukan juga untuk memberi keluhan atau luahan perasaan yang sudah kerap kita dengar. Jauh sekali menuding jari ke sana sini sedangkan fenomena itu sudah berlaku. Ya, saya cuba menilai sebuah fenomena yang saya sendiri berada di dalamnya, “Fenomena Kenaikan Harga.”
Apa kata mereka??
Kenaikan harga minyak memberi impak yang besar kepada kenaikan kos hidup. Ini lebih terasa bagi yang hidup di bandar-bandar besar yang mana kos hidup yang sedia ada telahpun tinggi. Misalnya full tank kereta saya sebelum ni RM 85 akan menjadi kira-kira RM 130. Walaubagaimanapun, ini berpunca daripada ketidakstabilan pasaran minyak dunia. Tambahan pula, subsidi yang tinggi sebelum ni disalahgunakan sesetengah pihak. Ini juga berpunca daripada kita menjual minyak kita yang sangat bermutu tinggi kepada negara luar then import minyak untuk rakyat. Alangkah baiknya kalau jual minyak kepada rakyat sendiri. Dari segi ekonomi mungkin baik untuk pertukaran matawang. Tapi kesian orang yang berpendapatan rendah atau sederhana…
Noraini Ahmad, Pensyarah Pusat Asasi UIAM
Sebagai seorang yang berada dalam kelompok rakyat biasa, saya juga memahami segala luahan isi hati dan kritikan orang lain dalam isu ini. Sepertimana ulasan saudara Anwar di creamstudents.com. Saya setuju dengan mereka dan saya harap suara mereka didengar dan dinilai dengan sebaiknya. Kita berkongsi makanan ruji yang sama, isi minyak di stesen-stesen minyak yang sama ( tak kiralah shell, petronas, BP dll), makan gula dan tepung yang tak jauh berbeza dan macam-macam lagilah. Pendek kata, kenaikan harga baik barang makanan mahupun minyak sudah tentu membuatkan kita sama-sama terasa kesannya.
Ok selesai pengenalan saya, sekarang kita masuk ke perbincangan yang lebih praktikal. Saya lebih suka mengulas dari aspek tindakan yang mampu kita lakukan untuk berhadapan dengan cabaran ini. Ya, tindakan yang sesuai dengan kemampuan kita dan mampu kita kawal walaupun kenaikan harga di luar kawalan kita. Tindakan apa ya?
Menambahbaik sikap. Ya, SIKAP!
Kita mampu mengawal sikap kita dalam berbelanja, dalam merancang perjalanan, dalam pemakanan dan macam-macam lagilah. Sememangnya kesan kenaikan harga pasti terasa terutamanya di kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tetapi sekurang-kurangnya kesan tersebut dapat dikurangkan.
Pertama, kita memerlukan kesedaran. Kesedaran tentang ketidakstabilan harga makanan mahupun minyak dunia yang cenderung kepada menaik berbanding menurun. Kesedaran bahawa kita tidak diberikan subsidi yang melimpah ruah dalam pelbagai aspek. Kesedaran bahawa negara kita tidak memiliki kuasa mutlak dalam pengawalan pasaran dunia. Dalam ertikata lain, kita tidak menguasai ekonomi dunia.
Kedua, kita perlu bertindak. Bukan kemudian tetapi sekarang. Bukan setelah ketandusan beras tetapi sebelum kebuluran. Bukan orang lain tetapi kita sendiri. Senduklah nasi ke dalam pinggan setakat yang kita mampu makan, jangan sampai buang sisa yang banyak. Tinggalkan budaya rempit yang membazir petrol. Kurangkan gula dalam makanan (tambahkan manis dalam senyuman).
Ketiga, kita perlu bersabar. Kurangkan rembesan adrenalin dan rangsang neuron untuk berfikir secara waras serta rasional. Dalam ertikata lain, jangan cepat melatah. Dengan sikap yang tenang, kita mampu merancang dengan lebih baik dan teratur. Jangan salah faham. Sabar tidak bererti kita tidak boleh mengkritik demi kebaikan, cuma jangan beremosi membuta tuli sampai menambah buruk keadaan berbanding memperbaikinya. Apatah lagi keadaan memang dah meruncing.
Begitulah pandangan saya. Saya menyeru kepada diri sendiri dan semua pembaca untuk sama-sama kita berfikir sebelum bertindak, bukan bertindak mengikut apa sahaja yang terfikir. Daripada menghabiskan masa cuba mengubah sesuatu yang kita tidak mampu ubah, lebih baik kita mengisi masa dan menyumbang tenaga untuk mengubah apa yang kita mampu ubah dan boleh diubah. Saya membuka ruang kritikan, selamat berfikir!



Do we need to unite under the name of bloggers united? Read here for more info and I desperately need your comments and thoughts. Spread the news and thank you!