Sebagai seorang manusia, kita selalu menginginkan sesuatu yang dapat memuaskan hati kita. Terutamanya seorang pemuda atau remaja. Sememangnya pada peringkat umur sebegini, kita lebih cenderung untuk bersifat Idealis dan tidak hiraukan keadaan sekeliling.
Sememangnya tidak ada masalah untuk kita bercita-cita besar. Itu membuatkan kita mempunyai jiwa yang besar dan optimis. Inilah yang akan melahirkan orang-orang yang tidak hanya mengimpikan kejayaan-kejayaan kecil dan selesa dengannya, bahkan kita akan sentiasa berusaha mencapai sesuatu yang lebih baik seperti yang kita sasarkan.
Itu secara teorinya dan memang itu tidak dinafikan. Sekarang cuba kita analisis dari segi realiti pula. Ertinya di sini dari segi kemampuan sebenar kita dan kesanggupan kita. Tiada masalah kita ingin berlari ke langit jika kita bisa berjalan merentasi pelangi. Itu sekadar analogi. Ertinya di sini cita-cita yang besar kemudiannya memerlukan usaha yang tidak kurang hebatnya. Jika tak sanggup melecur tangan, jangan main dengan api, kelak binasa diri.
Jangan salah faham. Bukan niat untuk menakutkan sesiapa. Sekadar peringatan agar kita sentiasa berjaga-jaga dan bersungguh-sungguh jika ingin merealisasikan sesuatu yang besar dalam kehidupan. Do not expect too much when you give too little.
Harus sanggup berkorban dan tidak mudah melatah kerana perkara kecil, barulah kita akan sentiasa bersedia untuk menghadapi sesuatu yang besar.




Jangan terlalu memandang ke langit tinggi sehingga melupakan kerikil di jalanan…wallahu ta’ala a’laam